MKT UMNO cadang lantik PM baharu untuk tempoh terhad 6 hingga 12 bulan

0
41
UMNO tidak mencalonkan Presidennya sebagai calon Perdana Menteri baharu kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah.


KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh enam hingga 12 bulan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lantikan bagi tempoh terhad itu juga bergantung kepada keadaan Covid-19 terutamanya aspek vaksinasi dan imunisasi.

“Memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), Perdana Menteri yang bakal dicadangkan kelak untuk menggantikan Muhyiddin hanya berfungsi untuk tempoh terhad.

“Sekiranya sudah mencapai tahap Imunisasi Berkelompok 80-90 peratus, maka rakyat dalam keadaan selamat untuk diadakan PRU,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Asyraf, UMNO tidak mencalonkan Presidennya sebagai calon Perdana Menteri baharu kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah.

“UMNO tidak ketandusan pemimpin-pemimpin termasuklah Datuk Seri ismail Sabri (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Hishamuddin (Menteri Kanan) dan ramai lagi yang punya pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Selagi kerajaan tidak mendapat mandat sebenar rakyat, selagi itulah tahap keyakinan dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia tidak akan tercapai.

“Kita memerlukan pelabur yang masuk untuk tempoh masa panjang yang mampu mencipta pekerjaan dan menjaga ekonomi bukan hanya di pasaran modal yang bersifat jangka pendek.

“Pelabur seperti ini hanya melabur dalam ekonomi yang mempunyai kerajaan kukuh dan stabil,” ujarmua lagi.

Selain itu katanya, keputusan MKT UMNO malam tadi jelas mengekalkan pendirian Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak sesekali menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mahupun menyokong kerajaan ditunjangi PH-DAP.

Asyraf turut menjelaskan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin selepas dilihat Pejabat Perdana Menteri secara tergesa-gesa mengumumkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan tanpa merujuk kepada UMNO terlebih dahulu.

“Beliau tahu Mesyuarat MKT UMNO pada 19 Februari lalu telah menetapkan pendirian tidak menerima sebarang tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“UMNO juga menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) dalam pertemuan antara Biro Politik UMNO dengan Muhyiddin pada Jun 2020.

“Namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara senyap-senyap pada 28 Julai menubuhkan Jawatankuasa Penaja Parti PN dengan menarik penyertaan rakan Muafakat Nasional (PN) iaitu Pas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here