Moratorium: Rekod CCRIS pemohon tidak terjejas

0
101
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam yang memohon moratorium tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

“Dalam hal ini, BNM akan memantau rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

“Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka.

“Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat juga menasihati peminjam supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

“Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021.

“Pada masa permohonan dibuat , peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

“Peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

“PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk.

“Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here