
GEORGETOWN – Selepas dikritik berhubung pandangan tidak bersetuju dengan kempen kibar bendera putih, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini tampil menjelaskan maksud sebenar kenyataannya.
Wan Salim berkata, maksud tidak bersetuju dengan kempen itu dibuat bersandarkan kebimbangan seseorang muslim itu untuk bersikap putus asa kepada rahmat Allah dan tidak bersabar pada ujian-Nya.
Menjelaskan perkara itu, beliau mengaku tidak bermaksud untuk menghalang tindakan kibar bendera sekiranya ia dapat membantu memudahkan urusan menyediakan bantuan dan menyedarkan pihak berkuasa.
“Kenyataan saya sebelum ini bertujuan memperbetulkan persepsi salah segelintir rakyat terutama mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahawa pihak-pihak berkenaan mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka.
“Sebaliknya, nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sedia dibantu dan dibela oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri di samping agensi dan institusi tertentu termasuk Pusat Pengurusan Zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Wan Salim membuat kenyataan tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk menagih bantuan.
Tindakan itu dikatakan tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenyatan beliau sebelum ini ada menggesa pihak berkuasa, agensi kerajaan negeri, pihak swasta termasuk GLC supaya bertindak lebih intensif dan agresif untuk membantu golongan terjejas.
“Saya memohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua pihak di atas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya mengenai isu ini,” katanya.