
CYBERJAYA – Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk menagih bantuan.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.
“Bagi umat Islam khususnya, perlulah memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang.
“Seorang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kepada kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat banyak lagi cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ini.
Wan Salim berkata, di samping bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, bantuan juga boleh didapati daripada badan-badan dan agensi-agensi tertentu terrmasuk pusat-pusat pengurusan zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta sumbangan dari pihak individu.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa
wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan penyumbang bantuan.
Sementara itu, beliau juga mengajak seluruh umat Islam supaya memperbanyakkan doa supaya negara bebas daripada pandemik Covid-19.
“Bersama- samalah kita bersabar menghadapi ujian ini dan teruskan berikhtiar untuk mengatasi kemelut yang melanda.
“Semoga Allah mendengar rayuan hanba-hamba-Nya dan menerima doa kita semua,” katanya.-MT