
CYBERJAYA -Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyifatkan tuduhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerima RM20 juta setiap tahun sebagai tidak berasas.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, jumlah RM20 juta yang pernah diumumkan sebelum ini tidak diterima setiap tahun sebaliknya dikutip oleh 20 NGO yang telah berpuluh tahun berjuang dalam kerja-kerja kebajikan.
“Duit RM20 juta itu bukan diterima melalui sumbangan setiap tahun. Ia (jumlah) disebut bila ada perang dapat RM20 juta. Perang bukan tiap-tiap tahun, sejak tahun 2006 hanya berlaku 4 kali sahaja. Jadi mustahil CGM dapat RM20 juta setiap tahun,” katanya pada Sesi Townhall Cinta Gaza Malaysia – Nadir Al-Nuri hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertikaian ke mana perginya duit mencecah RM20 juta yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang diutarakan oleh penceramah, Ebit Liew, Khamis lalu.
Terdahulu, penasihat bebas audit dalaman, Mohd Faizal Suleiman membentangkan laporan kewangan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Nadir Al-Nuri berkata, beliau bagaimanapun tidak menyalahkan individu yang membangkitkan isu dana berkenaan kerana dibuat berlandaskan kejahilan tentang sesuatu perkara dan tempat.
“Kita NGO selalunya ada duit. Ada masa bila bertemu dengan orang-orang di Palestin ini kami terpaksa menangguhkan permintaan mereka untuk bantuan kerana tidak mampu bantu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, duit sumbangan itu tidak hanya digunakan oleh CGM sebaliknya dikumpul di bawah MyAqsaDefenders bersama gabungan 20 NGO dan influencer negara seperti Heliza Helmi, Fedtri Yahya, Faizal Tahir dan Mizz Nina.
Katanya, bagi pecahan duit sumbangan membantu rakyat Palestin itu, sebanyak 30 peratus digunakan untuk melaksanakan projek-projek segera dan jangka sederhana, 30 peratus lagi untuk pembangunan infrastruktur dan 40 peratus untuk projek jangka masa panjang yang mampu memberikan pusingan kewangan,” katanya.
Manaka untuk perbelanjaan CGM, pihaknya mengambil 3 peratus daripada RM20 juta untuk kegunaan kakitangan dan urusan pejabat di Gaza dan Malaysia.
“Kita hanya ambil 3 peratus sahaja daripada RM20 juta. Takkan nak kerja secara percuma kerana kami juga perlukan makanan,” katanya.
Sebahagian daripada laporan perbelanjaan CGM boleh di baca di sini https://anyflip.com/jrsmy/tyxu/ dan https://anyflip.com/jrsmy/znin/
