
CYBERJAYA – Dalam mendepani hidup yang semakin mencabar, umat Islam perlu mendalami konsep Nafi-Isbat untuk meningkatkan keimanan dan yakinan kepada Allah sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada makhluk.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, Nafi yang memberi maksud ‘menidakkan’ dan Isbat bermaksud ‘mengiyakan’ membawa penghayatan yang hebat dalam hubungan makna antara hakikat manusia dan hakikat Allah.
Perumpamaan terbaik katanya adalah untuk melenyapkan keyakinan makhluk (manusia) sesama makhluk seperti mengibaskan sejadah sehingga semua debu yang menempel padanya lenyap dan tidak tersisa.
“Ulama katakan umat saat ini memiliki keyakinan yang salah. Mereka yakin bahawa dengan usaha boleh mendatangkan wang dan dengan wang boleh mendatangkan benda-benda dan dengan benda-benda boleh mendatangkan kebahagian. Bahawasanya ini adalah keyakinan yang salah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Mohd Fadzil berkata, dalam memahami konsep Nafi-Isbat, umat Islam perlu yakin sepenuhnya bahawa segala usaha tidak akan mendatangkan sebarang hasil tanpa keizinan Allah bahkan sebaliknya Allah mampu mendatangkan sebarang hasil tanpa sebarang usaha.
Justeru katanya, manusia sebagai makhluk Allah tidak boleh bersandarkan kepercayaan kepada makhluk yang lain sebaliknya wajib menyerahkan keyakinan kepada Allah yang mempunyai kuasa atas segalanya.
“Ambil contoh nasi yang kita rasa boleh mengenyangkan. Yang mengenyangkan adalah Allah SWT. Nasi berhajat kepada Allah untuk dapat mengenyangkan. Sedangkan Allah tidak berhajat kepada nasi untuk mengenyangkan.
“Apabila Allah berkehendak maka nasi boleh mengenyangkan. Apabila Allah berkehendak maka nasi tidak boleh mengenyangkan. Allah berkuasa mengenyangkan tanpa nasi,” jelasnya.
Konsep Nafi-Isbat juga boleh difahami melalui kisah-kisah terdahulu seperti kisah Ashabul Kahfi yang tidak menjamah makanan selama 309 tahun tetapi masih hidup dan tidak mati kerana kelaparan.
Contoh lain lagi katanya adalah sifat api yang membakar dengan keizinan Allah seperti kisah Nabi Ibrahim yang dilempar ke dalam api oleh Raja Namrud tetapi tidak sedikitpun ‘terusik’ oleh kepanasannya.
“Sedangkan Allah tidak berhajat kepada api untuk membakar. Apabila Allah berkehendak maka api boleh membakar. Apabila Allah berkehendak maka api tidak boleh membakar. Allah berkuasa membakar tanpa api. Laa ilaaha Illallah,” katanya.
Justeru, Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, dalam menjalani kehidupan seharian, umat Islam wajib menjaga niat dengan tidak bersandar kepada sesama makhluk sebaliknya meningkatkan keyakinan kepada kuasa dan kehendak Allah.
“Kita ambil contoh ubat. Ubat tidak boleh menyembuhkan. Yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Ubat berhajat kepada Allah untuk dapat menyembuhkan. Sedangkan Allah tidak berhajat kepada ubat untuk menyembuhkan.
“Apabila Allah berkehendak maka ubat boleh menyembuhkan. Apabila Allah berkehendak maka ubat tidak boleh menyembuhkan. Allah berkuasa menyembuhkan tanpa ubat.
“Contohnya ramai orang sakit bertahun-tahun makan banyak ubat tapi tidak sembuh-sembuh. Tapi ramai juga orang sakit, sembuh tanpa ubat, seperti sakit mata Nabi Ya’kub AS yang hanya diusap dengan baju, langsung sembuh. Karena yang menyembuhkan bukan ubat, tapi Allah SWT.
Laa ilaaha Illallah,” ujar beliau.