Negara rekod vaksinasi terbesar semalam dengan 313,761 dos

0
18
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Jumlah pemberian harian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di seluruh negara semalam melepasi angka 300,000 buat kali pertama, iaitu 313,761 dos.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah pemberian vaksin itu sudah mengatasi sasaran harian negara sebelum ini iaitu 200,000 dos sehari.

Dalam perkongsian grafik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsikan beliau, jumlah terbaharu itu dibahagikan kepada 196,603 penerima dos pertama manakala 117,158 penerima dos kedua.

Selain itu, jumlah kumulatif penerima dos pertama di seluruh negara kini telah mencapai 20.2 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia, iaitu seramai 6,585,002 orang.

Rakyat Selangor menjadi yang tertinggi menerima dos vaksin semalam, iaitu sebanyak 48,693 penerima dos pertama, dan 19,402 penerima dos kedua, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 67,735 orang.

Ia diikuti Sarawak dengan 29,376 penerima dos pertama, dan 26,692 penerima dos kedua, dengan jumlah keseluruhan seramai 56,068 orang.

Kuala Lumpur pula di tempat ketiga, dengan 37,838 orang penerima dos pertama, dan 10,639 orang penerima dos kedua, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 48,477 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here