Nilai diri sendiri untuk jadi lebih powerful

0
28

CYBERJAYA – Setiap individu mempunyai kebolehan untuk meningkatkan potensi diri dengan mengamalkan konsep penilaian ke atas dirinya sendiri secara positif.

Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, persepsi seseorang terhadap kualiti dan nilai diri mempunyai pengaruh yang hebat untuk seseorang untuk mengubah dirinya.

“Kalau kita mahu meletakkan nilai pada diri kita, berapa nilai yang kita mahu nilaikan. Adakah cukup dengan satu juta, seratus juta?

“Mesti mahal kan? Sebab kita dijadikan Allah sebagai satu ‘mesin’ yang hebat. Cuma kita tak sedar dan tidak berbuat sesuatu mengenainya,” katanya pada sesi live Facebook bertajuk ‘You Are Powerful‘ pagi ini.

Mohd Fadzil berkata, teknik penilaian diri boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan mencatat semua perkara tentang diri, pencapaian, pengalaman hidup, kegagalan, siapa yang kita kenali dan apa yang mahu diperbaiki.

Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang memilih untuk menulis apa-apa mengenai diri untuk dinilai semula dan dijadikan panduan memajukan diri.

“Sekarang ambil sekeping kertas dan tulis siapa diri anda, tulis latar belakang diri, pendidikan, apa kepercayaan hidup, kegemaran, pencapaian diri, azam dan semuanya pasal diri,” katanya.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, antara punca seseorang tidak dapat mencapai ‘kejayaan’ dalam hidupnya adalah kegagalan memanfaatkan apa yang diberikan oleh Allah.

“Semua manusia dijadikan Allah semulia-mulia makhluk (dengan syarat mereka bertakwa).

“Kebanyakan orang tidak dapat mencapai kejayaan kerana tidak guna apa yang Allah berikan. Kalau berusaha pun pada kadar terlalu basic tanpa memaksimum kebolehan yang ada,” ujar beliau.

Mohd. Fadzil Hashim

Bahkan katanya, perkara itu bertepatan dengan prinsip yang diterapkan oleh Islam iaitu “Man Jadda- InsyaAllah- Wa-Jada” yang bermaksud sesiapa yang berusaha maka diizinkan Allah akan berjaya.

Tambahnya lagi, contoh terbaik dan paling mudah dalam penilaian diri adalah dengan ‘mengangkat’ seseorang sebagai inspirasi, kemudian menilai latar belakang dan perjuangan individu itu dalam kehidupannya.

“Bila kita dengar cerita orang berjaya kita cuba belajar corak, formula dan cara yang menjadikan dia berjaya.

“Tapi apa yang lebih penting adalah untuk kita kekal menjadi diri kita, dengan menggunakan iktibar yang kita pelajari dari orang lain,” ujarnya.

Selain itu katanya, dalam melaksanakan anjakan dalam diri, amat penting untuk seseorang mempunyai disiplin dan dedikasi yang berterusan.

“Tokoh korporat dunia, Warren Buffet berkata, kita tidak perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk mencapai sesuatu yang luar biasa‚Ķtetapi cukup dengan melakukan sesuatu yang biasa secara berterusan.

“Perkara yang sama juga diterapkan oleh Rasulullah yang menitik beratkan amalan berterusan walaupun sekecil-kecil amalan,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here