Nilai Rt meningkat di Terengganu akibat kes rentas negeri

0
35
Dr Nor Azimi Yunus

CYBERJAYA – Kes rentas negeri terus menjadi punca kemunculan kluster-kluster besar Covid-19 dengan kluster terbaharu di Gong Pasir, Dungun melibatkan 40 kes positif.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sepanjang bulan Mei hingga Jun sebanyak 463 kes rentas negeri (import B) telah dikesan dengan majoriti kes di Kemaman (307 kes) dan Kuala Terengganu (36 kes) dan daerah-daerah lain.

“Ini mencetuskan 5 kluster besar seperti kluster Gong Badak (226 kes), kluster Langgar Hilir (45 kes), kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan kluster Kubang Jela (131 kes) yang masih aktif.

“Hari ini sahaja ada 9 kes Import B dikesan,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Katanya, pertambahan kes akibat rentas negeri itu dibimbangi menjadi faktor utama pertambahan kes kumulatif negeri yang masih dalam keadaan ‘turun-naik’.

“Seolah-olah situasi begini tak akan habis. Baru nak reda, kes naik balik. Sebelum ini nilai kebolehjangkitan (Rt) Terengganu adalah 0.62 TERENDAH. Sekarang Rt telah meningkat ke 0.88,” katanya.

Antara faktor penyumbang kepada kes itu adalah individu yang sering berulang-alik ke negeri berisiko atas tujuan kerja dan lain-lain.

“Sama ada mereka gagal pematuhan SOP semasa berada di negeri luar yang menyebabkan mereka dijangkiti.

“Kegagalan pematuhan SOP semasa pulang ke Terengganu serta masih melakukan aktiviti berhimpun juga antara punca berlaku penularan dalam komuniti dan akhirnya terbentuk kluster baru,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat negeri itu yang terlibat dalam aktiviti rentas negeri supaya terus mematuhi SOP termasuk membuat saringan di Klinik Kesihatan apabila perlu.

“Jangan sebab kelalaian kita, Terengganu patah balik ke Fasa 1 pulak. Kita nak bergerak ke Fasa 3 bukan undur ke belakang.

“Andai boleh diwajibkan ujian saringan sebelum seseorang masuk ke Terengganu. Namun itu keputusan dasar yang hanya boleh diputuskan oleh MKN dan Kerajaan Pusat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here