
CYBERJAYA – Golongan orang kelainan upaya (OKU) di Selangor yang layak dipelawa untuk memohon bantuan RM500 yang dibuka sejak 1 Julai lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM600,000 dana diperuntukkan untuk bantuan yang dibuka sehingga 31 Julai ini.
“Kerajaan memperuntukkan RM600,000 dalam Pakej Kita Selangor 2.0 sebagai bantuan bagi golongan OKU menempuhi cabaran Covid-19,” katanya di laman Facebook hari ini.
Maklumat lanjut mengenai program bantuan berkenaan boleh didapati di www.anisselangor.com/bantuanOKU.
Pada 8 Julai, Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima sebanyak 4,264 permohonan insentif sekali bayar RM500 yang dikhususkan kepada OKU.
Sebelum ini, Pengurus Besarnya Gan Pei Nei memaklumkan permohonan mulai 1 Julai itu melepasi sasaran 1,200 orang.
Syarat kelayakan permohonan termasuk warganegara, berumur 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.