Olimpik Tokyo: Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan

0
19
Datuk Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia itu juga tidak ke Jepun selepas mengambil kira nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Perkara berkenaan disahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu audio yang dikongsi kepada media hari ini.

Menurut Reezal Merican, berdasarkan pendirian yang dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Chong Wei kekal sebagai CDM Malaysia ke Olimpik Tokyo.

“Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya dari sini sehinggalah temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini melabuhkan tirainya pada 8 Ogos.

“Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei merupakan nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya.

Terdahulu, Reezal Merican hari ini meninjau persediaan dan persiapan akhir kem badminton negara bagi Sukan Olimpik di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here