Operasi kebun durian: PDRM akan gerakkan pasukan PGA ke Raub, Pahang

0
426
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan AM (PGA) akan digerakkan ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam selepas berlaku kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Acrly Sani Abdullah Sani berkata, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku, semua pihak yang terbabit diminta untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Tentu sekali ada antara mereka yang tidak berpuas hati, namun mereka perlu menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa,” katanya selepas meninjau kawasan PKPD di Flat Sri Sabah, Cheras, hari ini.

Menurut Acrly Sani, Isu mengenai pencerobohan itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Semalam, Mahkamah Majistret Raub, membenarkan 18 pekebun durian ‘Musang King’ direman selama dua hari hingga hari ini untuk siasatan lanjut, sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang turut ditahan dilepaskan dengan ikat jamin kira-kira jam 12 tengah malam.

Semua mereka ditahan Ahad lalu, selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula Ahad hingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk PDRM.

Mengulas tindakan beberapa ahli politik yang merentas negeri dan daerah bagi memberikan sokongan terhadap 18 pekebun durian yang ditahan selepas menggangu tugas anggota penguat kuasa, Acryl Sani berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata tindakan sewajarkan akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here