
KUANTAN – Dengan jumlah pemberian suntikan hampir mencecah 10,000 orang, Pahang menjadi negeri pendahulu yang mempunyai jumlah tertinggi pemberian vaksin Covid-19 kepada masyarakat Orang Asli.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 yang dilancarkan pada 16 Jun lalu sehingga kini telah memberi vaksin kepada 9,923 penerima dengan 3,452 sudahpun melengkapkan dos kedua.
Katanya, Pahang menjadi negeri paling ramai Orang Asli yang telah menerima vaksin COVID-19 berbanding beberapa negeri lain seperti Johor, Kelantan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Berdasarkan data bancian, sebanyak 54,164 masyarakat Orang Asli berumur 18 tahun ke atas layak untuk menerima suntikan.
“Usaha kita dipermudahkan dengan tahap kesedaran masyarakat Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin yang semakin tinggi,” katanya.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan POV, petugas akan mengadakan program suntikan di kawasan penempatan Orang Asli yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai.
Johari berkata, rombongan POV turut disertai Pegawai Psikologi (Kaunseling) PKD berketurunan Orang Asli untuk memberi penerangan dan nasihat supaya masyarakat pribumi itu menerima vaksin.
“Selain itu, jururawat akan menziarah setiap rumah untuk tujuan vaksinasi terhadap golongan warga emas,” katanya.