Pacu ekonomi negara dengan berasaskan kemahiran

0
56
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

CYBERJAYA – Kerajaan bercadang untuk memperluaskan lagi hubungan domestik menerusi integrasi dengan ekonomi serantau bagi mendepani pasca Covid-19.

Menteri Kanan (Perdagangan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan juga akan memperkasakan lebih banyak perniagaan tempatan dalam rantaian nilai global.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia turut berhasrat untuk memacu ekonomi negara secara lebih kompleks dengan berdasarkan industri berasaskan kemahiran.

“Pembangunan ekonomi era baharu memerlukan kemampuan produktiviti yang signifikan bagi membangunkan dan mewujudkan produk serta perkhidmatan bernilai tinggi.

“Justeru, Malaysia telah merumus lima Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk berfungsi sebagai kerangka bagi menghidupkan kembali landskap pelaburan negara serta meningkatkan daya tahan jangka panjang.

“Kerajaan juga berusaha mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia bagi memastikan rakyat kita dilengkapi dengan kemahiran mencukupi untuk ekonomi masa depan yang sedang berkembang,” katanya.

Beliau berkata dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021: Memacu produktiviti dan pertumbuhan selepas pandemik COVID-19 secara maya hari ini, teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri MITI, Datuk Lim Ban Hong.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan juga berhasrat untuk mengembangkan kluster baru dan sedia ada yang memainkan peranan penting dalam mendorong limpahan ekonomi, iaitu kunci untuk manfaat ekosistem yang menyeluruh.

“Kami mahukan pelaburan yang memiliki hasrat untuk berkembang ke seluruh rantau ASEAN.

“Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan inklusitiviti dengan memperjuangkan pertumbuhan yang adil kepada negara, memastikan peluang sama dan perlindungan yang mencukupi untuk rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, NIA dilihat untuk membuka potensi penuh Malaysia yang secara asasnya mengurangkan halangan untuk mengakses serta menyepadukan ekonomi dengan lebih baik.

“Kami sudah melihat hasil pertama dari NIA dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi suku pertama tahun ini, melonjak 95.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MITI akan terus menyokong dan melaksanakan langkah perlu bagi memastikan industri negara terus maju untuk bersaing secara produktif serta unggul di pasaran serantau dan global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here