
CYBERJAYA – Seorang lelaki yang video dirakamnya tular kerana membuat provokasi terhadap anggota polis di sebuah stesen minyak selepas tidak memakai pelitup muka di tempat awam ditahan pihak berkuasa itu semalam.
Melalui satu klip video berasingan yang dirakam sendiri oleh lelaki tersebut di rumahnya, beberapa pegawai serta anggota polis hadir ke kediamannya dan ingin membawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.
Pada awalnya lelaki tersebut menggunakan pelbagai alasan untuk melengahkan pihak polis menahannya dengan tidak membuka pintu rumah.
Malah, dia turut mempersoalkan mengenai tindakan yang diambil itu dengan memberi alasan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Seorang pegawai polis menjelaskan bahawa dia ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya.
Selepas mendapat penjelasan daripada pegawai polis, lelaki tersebut sekali lagi dilihat membuat provokasi dengan meminta pengenalan diri pegawai polis terbabit.
“Berani kerana benar, aku akan lawan,” katanya.
Semalam, tular satu klip video memaparkan seorang lelaki berdebat dengan pihak polis selepas dia dikesan melanggar SOP kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.