
CYBERJAYA – Kawasan parkir Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) bakal dijadikan sebagai hospital hibrid bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu diambil susulan keperluan kemudahan katil ICU sudah melebihi kapasiti yang ada dalam Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akam mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan kawasan parkir tersebut sebagai hospital hibrid.
“HTJ dipilih sebagai lokasi hospital hybrid kerana kebanyakan kes adalah daripada daerah Seremban di samping kemudahan doktor pakar yang ramai di hospital tersebut.
“Insya-Allah, hospital hibrid tersebut bakal menempatkan tambahan 10 lagi katil ICU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap dengan tambahan itu dapat meningkatkan kapasiti ICU HTJ dan seterusnya membantu lebih ramai mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
Kes harian Covid-19 di Negeri Sembilan terus mencatatkan angka membimbangkan apabila bersilih ganti dengan Kuala Lumpur di tempat kedua kes tertinggi.-MT