
CYBERJAYA – Parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), Pas tetap kekal menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berikutan itu, kesemua 18 ahli Parlimen Pas memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.
“Pas turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara, khususnya dalam keadaan Kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara.
“Pas seterusnya menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung langkah-langkah Kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, terutamanya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu sidang akhbar awal pagi tadi selepas berakhirnya mesyuarat MKT, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa UMNO menarik semula sokongan kepada Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ini selepas kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti akibat penarikan sokongan daripada UMNO yang mempunyai sebanyak 38 ahli Parlimen.-MT