
CYBERJAYA – Kawat berduri yang dipasang merentasi tangga di rumah pangsa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu melanggar peraturan bangunan dan arahan untuk membuka kembali kawat berduri sudah dikeluarkan.
“Pemasangan yang merentasi tangga flat (rumah pangsa) tidak dibenarkan dan melanggari peraturan bangunan.
“Kawat berduri tidak dibenarkan dipasang pada tangga rumah pangsa kawasan PKPD. Arahan buka serta-merta sudah dikeluarkan,” katanya dalam ciapan menerusi laman Twitternya sebentar tadi
Terdahulu tular gambar kawat berduri yang dipasang di tangga Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas.

Kawat berduri itu dipasang bagi mengelakkan penduduknya keluar masuk dari blok berkenaan berikutan penguatkuasaan PKPD.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pemasangan kawat berduri itu dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri wakil bomba dan penyelamat.
Menurutnya, PKPD itu dilaksanakan terhadap satu blok sahaja berikutan blok yang lain didapati kurang berisiko.
“Polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah memasang kawat duri di laluan tangga blok terbabit bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan.
“Pemasangan kawat duri itu dibuat selepas dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk blok itu bagi tujuan keluar dari blok sekiranya berlaku kecemasan.-MT