Pasangan beregu lelaki negara cipta kejutan besar, layak ke separuh akhir tewaskan pilihan pertama

0
260
Aaron Chia-Soh Wooi Yik

TOKYO – Persembahan luar biasa yang ditunjukkan oleh pasangan badminton beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menundukkan pilihan nombor satu kejohanan, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam aksi suku akhir sebentar tadi.

Dalam perlawanan selama 33 minit itu pasangan beregu negara itu menewaskan pasangan Indonesia itu dengan keputusan straight set 21-14 dan 21-17.

Kemenangan itu membolehkan pasangan beregu lelaki negara itu melangkah ke separuh akhir sekali gus memberi harapan untuk membutirkan satu pingat dalam acara itu.

Dalam pada itu Aaron berkata, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada semua penyokong yang memberikan sokongan kepada mereka.

Katanya, untuk perlawanan menentang beregu nombor satu dunia itu mereka tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi dan bermain seperti biasa.

“Tekanan diletakkan kepada pasangan Indonesia ini terlalu tinggi sebab mereka diletakkan harapan pingat tetapi kami hanya underdog dan masuk bermain seperti biasa.

“Apa yang kami lakukan sepanjang perlawanan ialah dengan tidak memberikan ruang kepada pasangan Indonesia dan bermain dengan corak pantas dan menyerang mereka bermula set pertama lagi,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu Aaron berkata, mereka juga telah bersedia untuk bertemu mana-mana pasangan beregu lain selepas ini dan akan memberikan persembahan terbaik.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here