
KUALA LINGGI – Sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan merogol anak saudara sendiri di Kuala Sungai Baru, di sini.
Perbuatan terkutuk pasangan peniaga sate yang dipercayai berlaku sejak 2018 itu terbongkar selepas mangsa berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis pada 18 Julai lalu.
Lebih kejam, perbuatan terkutuk itu bukan sahaja diketahui oleh ibu saudara mangsa tetapi wanita berusia 37 tahun itu juga dikatakan bersekongkol membenarkan suaminya merogol mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa mendakwa dirogol sejak Oktober 2018 hinggalah kali terakhir pada bulan ini.
“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) telah menjalankan siasatan dan menahan pasangan suami isteri itu yang juga pembekal sate.
“Suspek wanita ditahan pada hari sama laporan dibuat manakala suaminya diberkas pada jam 6 petang, 22 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohd Sukri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Suspek utama yang juga bapa saudara mangsa didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Mangsa yang kematian ibu dan kehilangan ayah tinggal bersama kedua-dua suspek sejak berusia 10 tahun,” katanya.