
TOKYO – Harapan negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak Olimpik 2020 daripada acara badminton tidak kesampaian apabila gandingan Aaron Chia/Soh Wooi Yik terkandas di pusingan separuh akhir, sebentar tadi.
Dalam perlawanan menentang gandingan China, Li Jun Hui/Liu Yu Chen di Gelanggang Plaza Musashino Forest sebentar tadi, pasangan beregu negara tewas 22-24, 13-21.
Perlawanan yang berlangsung selama 38 minit itu bermula dengan sengit, namun set pertama berakhir dengan kemenangan kepada beregu China.
Pada set kedua, pasangan negara kelihatan seolah-olah kehilangan punca sekaligus membenarkan pasangan China yang berkedudukan di ranking no. 2 di dunia itu mendominasi dan memenangi set tersebut.
Selepas ini, Aaron dan Wooi Yik akan bertemu dengan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan dan Hendra Setiawan pada perlawanan pingat gangsa, esok.