PBT boleh dan ada kuasa untuk tutup kilang- Zuraida

0
86
Datuk Zuraida Kamaruddin

MARAN- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebenarnya mempunyai kuasa untuk menutup kilang yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, PBT boleh menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bersama Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Pada 29 Jun lepas, kerajaan Pusat telah menurunkan kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak termasuk individu, syarikat dan kilang yang tidak mematuhi SOP dengan mereka boleh dikompaun mengikut Akta 342.

“PBT di seluruh negara boleh menguatkuasakannya, jadi tidak ada isu PBT tidak boleh tutup kilang kerana mereka boleh menggunakan Akta 342 dan disokong Akta 171, bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menutup dan mengambil tindakan mahkamah,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Serengkam dan Kampung Orang Asli Merbau hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker.

Media sebelum ini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor Ng Sze Han berkata PBT tidak mempunyai kuasa bagi menutup kilang dalam membendung penularan Covid-19 kerana kuasa tersebut di bawah kerajaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here