PBT tiada kuasa tutup kilang di Selangor

0
172
Kilang elektronik yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di dalam Ops pemantauan SOP PKP 3.0 di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya. – foto/FaridJanudin

CYBERJAYA -Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa dalam penutupan kilang bagi membendung penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han, kuasa berkenaan masih dibawah Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.

“Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen ketika dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

“Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja.

“Ini tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan berhubung penggunaan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], khususnya Seksyen 107(2), untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT.

Sze Han memberitahu, penentuan Tatacara Pengendalian Piawai ataupun SOP yang dipatuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342 sejak 18 Mac tahun lalu.

“Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Selangor.

“Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here