
CYBERJAYA – Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini.
Sebuah portal berita mendakwa Muhyiddin bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara susulan kemelut kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebuah lagi portal berita mendakwa Muhyiddin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, petugas media ketika ini masih ‘berkampung’ di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara dan juga di Istana Negara untuk sebarang kemungkinan.
Senario politik negara ketika ini kembali hangat apabila Presdien UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin serta merta semalam.
Terdahulu hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan jemaah Menteri hadir ke kediaman Muhyiddin dipercayai bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara.
Sehingga petang ini masih ada kenderaan yang membawa timbalan menteri dan juga menteri yang tiba di kediaman Muhyiddin selain pemimpin-pemimpin parti politik.