Pekebun durian haram roboh jambatan cuba halang penguatkuasa

0
2051
Kekecohan yang berlaku antara pekerja kebun durian haram dengan petugas operasi memusnahkan kebun durian di Hutan Simpan Batu Talam baru-baru ini.

RAUB – Operasi memusnahkan kebun durian haram di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, di sini tergendala apabila beberapa jambatan konkrit ke tapak kebun dirosakkan untuk menghalang laluan anggota penguatkuasa.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, empat daripada jambatan yang dibina merentasi sungai kecil di kawasan itu dipercayai sengaja dirobohkan untuk mengganggu operasi.

Menurutnya, akibat gangguan itu, anggota yang melalui laluan itu terpaksa membaik jambatan berkenaan dengan cara mengangkat semula lantai konkrit jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai.

“Operasi turut membabitkan kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Tranum.

“Saya difahamkan hari ini anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing, Kuantan akan menyertai operasi musnah, kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan mereka yang menjalankan tugas,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Dalam operasi terdahulu katanya, pasukan penguatkuasaan turut berdepan provokasi daripada pekerja kebun yang berkasar dan menghalang laluan masuk dengan menghentikan kenderaan di laluan masuk.

Nor Azirim berkata, sehingga kini pihak berkuasa telah menahan 22 individu dipercayai pemilik dan pekerja kebun atas ksesalahan menceroboh kawasan Hutan Simpan dan didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Operasi memusnahkan kebun durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di situ menjadi topik hangat sejak beberapa hari lalu termasuk campur tangan pemimpin DAP yang cuba mempertahankan pekebun haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here