Pelajar tahun akhir UiTM anjur forum perniagaan era pandemik

0
47

SHAH ALAM — Pelajar tahun akhir Kursus Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di bawah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media akan mengadakan forum secara dalam talian bertajuk “Biz4You-th: The Bazaar of Stories”.

Program yang akan disiarkan di saluran Youtube bizforyouth pada pukul 8 malam esok (4 Julai 2021) itu akan berkongsi pengalaman bagaimana usahawan muda menguruskan perniagaan dalam cabaran pandemik Covid-19.

Fokus utama perbincangan akan menumpukan cara dan strategi para usahawan dalam mengekalkan perniagaan untuk dijadikan panduan dan pedoman kepada golongan usahawan terutama daripada golongan belia.

Forum akan dihadiri tetamu jemputan khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan empat orang panel jemputan yang berpengalaman dalam perniagaan pertanian, percetakan baju dan bidang makanan dan minuman.

Barisan speaker Biz4You-th: The Bazaar of Stories yang akan membincangkan topik cabaran pengurusan perniagaan pada zaman pandemik.

Penasihat Program, Abuzar Abdul Halim berkata, forum itu merupakan sebahagian daripada pengisian Kursus Perhubungan Awam yang ditubuhkan sejak 1972 yang bertujuan melahirkan insan yang berwibawa dan profesional dalam perhubungan awam sekaligus menyumbang idea dan input kepada industri dan negara.

“Dunia perniagaan sekarang mengalami satu perubahan yang cukup drastik dan saya rasa program seperti ini perlu diadakan untuk membantu mereka yang terkesan menguruskan perniagaan dengan lebih baik.

“Program ini bukan sekadar untuk berkongsi kisah yang boleh dijadikan peringatan buat penonton, tetapi diharap mampu memberi inspirasi buat belia yang menanam cita-cita untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada Malakat Tribune.

Program dengan kerjasama Institute of Public Relations Malaysia di bawah IPRMSA-UiTM Chapter itu merupakan projek tahun akhir bagi pelajar Perhubungan Awam UiTM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here