Pembantu gerai buah ditahan kerana hina TMJ

0
575
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pembantu gerai buah kerana memuat naik 12 video mengandungi komen jelik serta menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berumur 31 tahun itu ditahan di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Ayob Khan berkata, lelaki berkenaan dikesan memuat naik video dengan komen jelik dan menghina TMJ itu menerusi akaun Instagram, ‘amirul_naito’.

“Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangkar Pulai, berhubung video dimuat naik suspek, kira-kira pukul 9 pagi, semalam.

“Sebanyak sembilan lagi laporan polis turut dibuat semalam, susulan video berkenaan yang turut tular sejak semalam.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya mengesan dan menahan suspek di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.

“Permohonan reman dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes ugutan jenayah dan khianat.

“Siasatan akan dibuat terhadap motif suspek memuat naik video dengan kata amat jelik serta menghina TMJ.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Ayob Khan turut menasihatkan masyarakat agar tidak menyalah guna media sosial dengan memuat naik video dengan kata-kata jelik, apatah lagi bersifat menghina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here