
CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) semalam berjaya mengumpul kira-kira 12,000 tandatangan melalui petisyen menolak cadangan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, himpunan suara rakyat Malaysia itu bertujuan mendesak kerajaan menolak cadangan tersebut demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia.
Beliau berkata, tindakan menyerahkan seliaan TH kepada BNM adalah tindakan tidak wajar kerana TH tidak bermatlamat seperti institusi perbankan biasa malah bukan institusi dana kerajaan.
“Jangan sampai kesilapan kita pada hari ini menyebabkan anak cucu cicit kita rugi dan sebuah institusi Islam yang pernah unggul di persada dunia, akhirnya dikecil serta direndahkan skopnya menjadi seperti bank semata-mata. Sangatlah rugi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kewangan baru-baru ini mengumumkan TH akan dikawal selia oleh BNM dan memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
Aminuddin berkata, melalui petisyen yang dilancarkan pada 18 Julai lalu, Pembela menuntut kerajaan menjelaskan beberapa perkara demi menjaga kelangsungan TH dan nasib 9 juta pendepositnya.
Berikut tuntutan Pembela berhubung isu tersebut;
(i) Tidak ada penjelasan terhadap frasa-frasa dari Akta Tabung Haji 1995 yang akan dipinda seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Kementerian Kewangan. Ini membimbangkan rakyat kerana adakah nanti pindaan ini akan menjejaskan kepentingan lebih 9 juta pendeposit itu?
(ii) TH adalah sebuah institusi yang ditubuhkan untuk bukan sahaja sebagai tempat orang Melayu menyimpan wang mereka tetapi juga satu institusi yang membina kekuatan ekonomi orang Melayu. Dengan meletakkan TH di bawah BNM, adakah fungsi ini dapat dimainkan atau apakah ianya akan dikekang disebabkan oleh peraturan yang ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013?;
(iii) Umum mengetahui bahawa kakitangan BNM tidak semuanya orang Islam. Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurus tadbir oleh orang bukan Islam? Apakah kepentingan umat Islam dapat difahami dan dijamin jika ianya ditadbir oleh orang bukan Islam?;
(iv) Status TH adalah lebih besar dari hanya sebagai sebuah institusi kewangan seperti yang dijelaskan dalam perkara (ii) di atas. Apakah dengan menyenaraikan TH sebagai ‘sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan’ akan merendahkan statusnya menjadi seperti sekadar sebuah bank? Walhal, TH sudahpun memiliki Bank Islam sebagai sebuah syarikat subsidiari?;
(v) Dengan menukarkan penyeliaan kepada BNM adakah bermaksud bahawa pengurusan TH sudah tidak lagi mampu untuk mengurustadbir TH secara telus dan berintegriti? Jika benar, kenapa tidak diganti anggota-anggota Lembaga Pengara yang ada dan melantik mereka yang benar-benar layak? Jika campur tangan politik menjadi isu, maka apakah tidak boleh diletakkan syarat di dalam Akta LTH bagi melarang penglibatan orang politik? Ertinya, ada langkah-langkah alternatif yang boleh dilakukan selain dari menyerahkan TH kepada BNM;
(vi) Apakah dengan penyeliaan oleh BNM nanti, TH masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam pelbagai sektor seperti hartanah, pertanian, ekuiti dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan bangsa Melayu, atau apakah ianya akan disekat oleh BNM kerana pelbagai frasa-frasa yang terkandung di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 itu?