Pembela sokong tindakan tegas terhadap pekebun haram musang king

0
153
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyokong penuh tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Pahang dalam operasi memusnahkan kebun durian musang king haram di Hutan Simpan Batu Talam, dekat sini yang bermula kelmarin.

Menurut Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, pada masa sama, pihaknya turut menggesa supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengkaji apakah tanah yang diceroboh itu menjadi semakin besar.

“Baru-baru ini, pekebun haram musang king telah ‘meroyan’ dan membuat laporan polis terhadap pihak berkuasa kerana kononnya dihalang memasuki kebun haram kononnya milik mereka itu.

“Turut tular ialah, video perbalahan antara para pekebun yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras (DAP) dengan pihak penguatkuasa yang bertugas dalam operasi itu. Katanya, pihak penguatkuasa telah melanggar undang-undang.

“Dakwaan ini sungguh ironi dan tidak malu kerana secara fundamentalnya, tanah yang diceroboh itu adalah milik kerajaan dan para penceroboh telah mengaut hasil jutaan (mungkin cecah billion) selama berpuluh tahun. Mengapakah mereka marah sangat apabila pihak penguatkuasa kerajaan masuk tanah kerajaan pula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam itu diserta 23 anggota polis, Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Hutan Daerah Raub dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat gangguan oleh pekebun haram dan beberapa wakil rakyat yang membantah tindakan penguatkuasaan oleh penguatkuasa terlibat.

Sementara itu, Aminuddin juga meminta media berbahasa Melayu untuk lebih fokus terhadap isu tersebut memandangkan terdapat media berbahasa lain yang cuba bermain sentimen perkauman terhadap isu tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here