Pemusatan kuasa terlalu besar punca TH diletakkan di bawah Bank Negara

0
172
Tabung Haji

CYBERJAYA – Pemusatan kuasa yang terlalu besar bagi Tabung Haji (TH) dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus sehingga institusi kewangan terbesar Islam itu perlu diletakkan di bawah kepakaran Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan TH terus kekal pada landasannya.

“Pelaksanaan model baharu operasi TH ini adalah untuk menambahbaik tadbir urus dan model perniagaan TH dan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.

“Ini bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia di samping melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit sekali gus menjana ekonomi umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan institusi kewangan Islam itu akan dengan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan bakal dikawal selia oleh BNM.

Pada masa sama, kerajaan juga dilapor akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga TH.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, meskipun terdapat penambahbaikan operasi, kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke atas TH masih kekal selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta TH 1995 terutamanya dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

Pada masa sama, katanya, Menteri Agama akan terus kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi TH dalam memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.

“Pengawalseliaan BNM ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri Agama dan umat Islam ke atas TH. Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawalselia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun dikawalselia oleh BNM,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here