
CYBERJAYA – Selepas dikritik teruk oleh nitizen, seorang penceramah motivasi yang dikenali sebagai Carl Samsudin tampil membuat permohonan maaf kerana menghina seorang lelaki warga emas.
Carl yang merupakan seorang usahawan berkata, dia tidak sesekali menyedari bahawa kata-katanya telah menguris hati salah seorang penerima sumbangan dan keseluruhan rakyat Malaysia.
“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan pak cik tersebut saya betul-betul mohon maaf.
“Sejujurnya sebelum, semasa dan selesai bercakap saya menyantuni pak cik berkenaan serta semua gelandangan dengan baik dan mereka semua gembira pada hari tersebut.
“Bagaimanapun saya sedar saya tidak patut bercakap dan bernada begitu bila dengan mereka yang berumur dari saya. Saya minta maaf dan ini pengajaran besar kepada saya. Im so sorry Malaysia,” tulisnya dalam hantaran terbaharunya petang tadi.

Dalam video berdurasi 50 saat yang tular semalam, Carl dilihat memberi teguran secara kasar kepada seorang gelandangan warga emas ketika menyampaikan bantuan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Menjelaskan perkara itu, Carl berkata, video tersebut dipetik ketika gelandangan berkenaan dipanggil ke depan untuk sesi berkongsi pengalaman.
Katanya, dia tidak berniat untuk menghina tetapi cara percakapannya yang penuh bersemangat ketika memberi motivasi telah disalah tafsirkan.
“Siapa yang pernah hadiri motivational talk saya akan faham macamana semangatnya saya bercakap dengan cara saya sendiri bagi mereka yang datang kepada saya untuk dibantu bangkit dan ubah hidup.
“Saya bukan marah (minta maaf), saya hanya memang semangat bila bercakap membantu orang (saya tidak sesekali mengeluarkan perkataan yang keji dan menghina, cuma nada saya agak bersemangat,” katanya.
Dalam kenyataan itu, dia turut memohon maaf kerana bercakap tanpa memakai pelitup muka dan mengaku sudah menerima kompaun daripada pihak polis.
Petikan kenyataan Carl Samsudin yang dikeluarkan hari ini.