
CYBERJAYA – PAS hari ini menyatakan pendirian untuk berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebarang keputusan yang diputuskan oleh Kabinet ketika ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat demi kestabilan politik serta perpaduan rakyat yang sangat diperlukan dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“PAS tegas mendokong sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“PAS berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendokong semua keputusan yang telah diputuskan oleh kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu adalah susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan kerajaan mengenai pembatalan Ordinan Darurat.
Kerajaan pada Parlimen pada 26 Julai mengumumkan pembatalan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan Al-Sultan Abdullah walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Tuan Ibrahim dalam kenyataan sama meminta agar semua pihak terus bersama-sama dan mengenepikan perihal politik dalam menguruskan negara.
“Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19,” tambah beliau.