Pengurusan NGO perlu profesional – Nadir Al-Nuri

0
208
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman

CYBERJAYA – Perkara paling penting dalam pentadbiran sesebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) adalah memiliki tahap pengurusan dan pasukan yang profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, pengurusan profesional merangkumi semua aspek baik dari segi pentadbiran, perancangan, penyelidikan dan kajian.

Beliau berkata, aspek itu bukan sahaja penting untuk memastikan matlamat sebenar perjuangan sesebuah NGO tidak tersasar bahkan dapat memberi jaminan kepuasan kepada pemegang taruh yang berkaitan.

Dalam kata lain ujar beliau, sesebuah NGO perlu diuruskan sama seperti sebuah perniagaan yang mempunyai barisan pentadbir dan jawatankuasa yang memberi teguran, panduan dan nasihat secara terbuka.

“Kerja-kerja NGO memerlukan pengurusan dan perancangan yang cukup teliti untuk memastikan ia memberi impak yang berkesan kepada penerima (masyarakat).

“Keperluan itu menjadi lebih kritikal apabila melibatkan NGO bertaraf antarabangsa seperti CGM yang menguruskan bantuan di bumi bergolak Gaza.

“Sudah tentu kami tidak mahu melakukan kerja atau projek bantuan yang bersifat one-off atau tidak selari dengan budaya masyrakat setempat,” katanya pada Sesi Townhall Cinta Gaza Malaysia – Nadir Al-Nuri hari ini.

Petikan daripada projek-projek misi kemanusian CGM di Gaza.

Mengulas peranannya sebagai CEO CGM dan pengurusan NGO pimpinannya, Nadir Al-Nuri berkata, walaupun beliau bertindak sebagai ketua CGM namun tugas pelaksanaan projek di Gaza diserahkan kepada ketua projek yang dilantik dalam kalangan penduduk setempat.

“Saya bukan ketua CGM di Gaza tetapi di Malaysia, di Gaza kita lantik orang tempatan sebagai ketua projek yang menilai dan menerima terima proposal daripada NGO.

“Dia jugalah yang mengatur pertemuan dengan pihak-pihak yang berkenaan termasuk wakil kerajaan sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

“Di sini kami bekerja secara berpasukan dalam tim yang ramai bukan bersendirian,” katanya.

Sehubungan itu katanya, tidak menjadi masalah kepada beliau dan pasukan CGM untuk membentangkan laporan perbelanjaaan NGO itu secara terbuka.

“CGM bekerjasama dengan kira-kira 30 NGo tempatan dan lebih 200 dari Malaysia. Alhamdulillah setakat ini tidak pernah ada NGO yang mempersoalkan dana dan sumbangan yang diberikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here