Penularan varian Delta semakin dominan di AS

0
72
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Rochelle Walensky.

WASHINGTON – Varian Delta semakin menular di Amerika Syarikat (AS) dengan 83 peratus kes yang dilakukan penjujukan adalah disebabkan oleh varian dari India itu.

Menurut The Guardian, perkara itu disahkan oleh Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Rochelle Walensky pada sesi penerangan kepada Senat AS, semalam.

“Kenaikan ini agak membimbangkan, naik daripada 50 peratus pada minggu 4 Julai lepas,” kata Walensky.

Beliau turut menambah, angka kematian akibat Covid-19 turut menunjukkan kenaikan kira-kira 48 peratus sepanjang minggu lalu, pada kadar purata 239 kematian sehari.

“Setiap kematian adalah amat mendukacitakan kerana kita sepatutnya sedar ia boleh diselamatkan melalui pemberian vaksin,” tambah Walensky.

Buat masa ini, kurang separuh daripada rakyat AS sudah menerima vaksin Covid-19.

Wilayah Oklahoma, Missouri, Arkansas, Alabama, Louisiana dan Mississippi mempunyai angka jangkitan yang tinggi berikutan kadar vaksinasi yang rendah di wilayah tersebut.

Alabama merupakan wilayah dengan kadar vaksinasi yang paling rendah, iaitu hanya 42.4 peratus.

Sepanjang dua minggu ini, kadar jangkitan baharu di AS naik sebanyak 198 peratus.

Wilayah yang menunjukkan kadar jangkitan baharu tertinggi adalah Oklahoma dengan 387 peratus, diikuti Louisiana (376 peratus) dan Mississippi (308 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here