
COPENHAGEN – Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) memaklumkan peningkatan angka jangkitan baharu Covid-19 di Eropah adalah disebabkan oleh para penyokong Kejohanan Euro 2020 di stadium, pub dan bar di bandar-bandar tuan rumah.
Menurut Reuters, pada minggu lepas sahaja, jumlah kes baharu bertambah sebanyak 10 peratus.
“Stadium bukanlah lokasi utama (jangkitan). Kita perlu juga melihat pergerakan orang ramai.
“Bagaimana mereka ke stadium, adakah dengan menaiki konvoi bas, dan juga bagaimana mereka meninggalkan stadium,” kata Pegawai Kanan Kecemasan WHO, Catherine Smallwood, hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan semalam, pihak berkuasa Scotland mendedahkan hampir 2,000 individu yang disyaki positif Covid-19 telah menghadiri satu keramaian berkaitan kejohanan bola sepak itu.
Mereka turut menambah, terdapat dalam kalangan individu itu turut hadir pada perlawanan menentang England di London, United Kingdom pada 18 Jun lalu.