
KUALA LUMPUR – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah mengambil langkah tepat apabila memperkenalkan Skim Emas buat warga pendidik sebagai perlindungan baharu.
Rata-rata ahli skim itu berpuas hati serta teruja dengan manfaat kebajikan dan beranggapan YGMB telah memainkan peranan terbaik dalam membela nasib guru.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Melaka, Aziz Lani berkata, selain manfaat kebajikan terbaik, Skim Emas juga tidak meletakkan syarat yang berat untuk guru sertainya.

“Pada saya, skim ini satu inisiatif yang terbaik. Kalau kita lihat, guru yang sudah bersara pun masih boleh sertai dan perlindungannya juga sehingga umur 80 tahun.
“Saya sertai Skim Emas ini apabila diperkenalkan kepada guru-guru di Melaka baru-baru ini, saya rasa hampir keseluruhan guru ketika itu memilih untuk sertai skim ini.
“Bagi mereka yang akan bersara, ini adalah satu perlindungan yang terbaik. Kita tidak tahu selepas ini kita sakit atau tidak, apabila sertai skim ini rasanya kebajikan akan terjamin.
“Ini kerana, dengan elemen baharu, Skim Emas menampilkan skop perlindungan jangka hayat yang panjang. Maknanya ada jaminan untuk kita jika berlaku apa-apa nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Nor Zamani Ismail berkata, skim perlindungan seumpama itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh para guru.

“Apabila mendapat tahu mengenai skim ini, saya terus sertainya. Bagi saya, ini adalah peluang keemasan dan tidak patut dilepaskan begitu sahaja kerana amat bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Untuk sertainya juga tiada syarat-syarat yang ketat seperti tidak perlu sebarang pemeriksaan kesihatan. Bagi saya, yurannya juga amat berpatutan,” katanya.
Seorang lagi ahli baharu Skim Emas iaitu Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Zainal Buang berkata, beliau menyokong segala usaha yang dilaksanakan YGMB untuk membela nasib warga pendidik.

“Saya memang sokong…Skim Emas ini antara yang terbaik kerana umur lebih 55 tahun pun masih boleh sertai. Apabila diperkenalkan saya antara yang terawal bersetuju dan menyokong.
“Saya selepas ini (habis PKP) bercadang untuk adakan mesyuarat dengan PPD dan guru-guru besar untuk perkenalkan skim ini kerana ia lain daripada yang lain dan
bertepatan dengan keadaan semasa,” katanya yang ketika ini berumur 59 tahun.