Perlis dijangka berganjak ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

0
45
Azlan Man

CYBERJAYA – Negeri Perlis dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan
Negara (PPN) selewat-lewatnya minggu depan selepas pembentangan perkara itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kelonggaran itu akan dibincangkan ekoran syarat dan indikator yang ditetapkan oleh MKN telah dan sedang dipenuhi.

“Saya telah meneliti beberapa keluhan rakyat Perlis yang dikemukakan di pelbagai platfom komunikasi seperti aplikasi Facebook, WhatApps dan sebagainya. Ada beberapa input yang bagus dan mengena pada negeri ini. Saya bentangkan kepada kerajaan Pusat untuk diteliti dan diberi kelonggaran.

“Perlis cuma satu sahaja indikator belum capai untuk beralih kepada Fasa 3 PPN sebenarnya iaitu tahap vaksinasi dua dos belum mencapai pada kadar 40 peratus,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Perlis hanya memerlukan sekitar 26 peratus lagi dalam kalangan penduduknya untuk menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri itu memasuki Fasa Tiga PPN iaitu membenarkan pergerakan bebas dan melakukan aktiviti ekonomi tanpa sekatan.

Sehingga kini, kira-kira 25 peratus penduduk Perlis telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 14 peratus pula telah melengkapkan dua dos vaksin.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan Perlis bergerak kepada Fasa 2 PPN ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini telah mempergiatkan usaha di peringkat akar umbi bagi membolehkan proses vaksinasi dapat dilakukan dengan segera.

Media sebelum ini juga turut melaporkan Perlis, Kelantan dan Terengganu antara beberapa negeri yang dijangka beralih kepada Fasa 2 PPN minggu depan.

Keputusan untuk menamatkan sekatan pergerakan penuh di beberapa negeri dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil PPN.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menegaskan Malaysia masih di Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN memandangkan tiga indikator nilai ambang utama belum dicapai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here