Permohonan i-Citra bermula hari ini

0
36
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pencarum-pencarum Kumpulan Simpanan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mula memohon pengeluaran i-Citra bermula hari ini.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan semalam memaklumkan, pembukaan tarikh itu tiga hari lebih awal daripada yang diumumkan sebelum ini.

“Bagi memudahkan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran terbabit.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2,” katanya.

Menurut KWSP, jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

Menurut kenyataan itu, pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai bulan hadapan.

i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Ia merupakan inisiatif jangka pendek bagi membantu pencarum yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta mengimbangi keperluan masa kini dan masa depan ahli.

Untuk maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli-ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here