Permohonan moratorium dibuka esok, BNM beri peringatan kadar faedah akan terus dikira

0
9064
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Permohonan untuk mendapatkan kemudahan bayaran balik pinjaman atau moratorium untuk peminjam yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan dibuka bermula esok.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat Covid-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai esok.

Katanya, ia selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bank pusat itu berkata, individu, perusahaan mikro ataupun PKS tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

“Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

“Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

“Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium,” katanya.

Bagaimanapun BNM menjelaskan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium bakal menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Sehubungan itu, bank pusat berkata, institusi perbankan dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

“Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan,” kata kenyataan itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here