
TOKYO – Pengarah Pertunjukan Majlis Pembukaan Sukan Olimpik Tokyo, Kentaro Kobayashi dipecat selepas video sketsa komedi yang turut dilakonnya lebih sedekad lalu mengenai penyeksaan Nazi terhadap Yahudi (Holocaust) tular di media sosial semalam.
Perkembangan terbaharu itu menjadi tamparan terbaharu kepada kejohanan itu yang sebelum ini bergelut dengan kes baharu Covid-19 dalam kalangan atlet terlibat.
“Dalam persembahan sebelum ini, dia menggunakan kata-kata yang mengejek fakta sejarah tragik itu.
“Jawatankuasa Penganjur memutuskan untuk melucutkan Kobayashi daripada jawatannya,” kata Ketua Tokyo 2020, Seiko Hashimoto yang memtik laporan AFP hari ini.
Dalam sketsa itu, Kobayashi dan seorang lagi pelakon komedi berlakon sebagai penghibur televisyen bagi rancangan kanak-kanak popular.
Dalam sesi aktiviti membabitkan kertas, Kobayashi merujuk kepada patung kertas dan menyatakan ‘sesuatu yang digunakan apabila mengajak untuk bermain Holocaust’, menyebabkan penonton ketawa.
Pasangan itu kemudian berjenaka mengenai cara penerbit rancangan televisyen marah dengan cadangan mengadakan aktiviti Holocaust.
Dalam kenyataannya, Kobayashi meminta maaf dan menyifatkan sketsa itu mengandungi ayat yang tidak sepatutnya dan tidak wajar menjadi bahan jenaka.