“Pesakit merayu diberi vaksin sebelum diintubasi”

0
504
DR. BRYTNEY COBIA

BIRMINGHAM, Alabama – Seorang doktor yang bertugas merawat pesakit Covid-19 yang kritikal berkata, ada antara pesakitnya yang merayu supaya diberikan vaksin sebelum diintubasi.

Menurut portal Al.com, Dr. Brutney Cobia yang bertugas di Pusat Kesihatan Grandview berkongsi pengalaman sedih itu dalam satu paparan di laman Facebooknya, baru-baru ini.

“Saya melihat ramai orang muda yang dimasukkan ke hospital dengan komplikasi Covid-19 yang serius,” katanya.

“Salah satu perkara terakhir yang mereka lakukan sebelum diintubasi adalah merayu supaya diberikan vaksin.

“Saya hanya mampu memegang tangan mereka dan berkata ‘maaf, ia sudah terlambat'”, tambah Cobia.

Cobia menambah, beliau nampak wajah mereka yang ketakutan dan penuh penyesalan.

“Saya melihat seorang individu yang sedang menderita, dan ia amat menyedihkan kerana kesilapan itu berpunca daripada keputusan yang mereka buat sendiri (untuk tidak menerima vaksin),” katanya lagi.

Cobia tidak mendedahkan berapa jumlah pesakit kritikal di bawah jagaannya, namun salah seorang pesakitnya yang pernah menerima suntikan vaksin sedang beransur pulih setelah diberi bantuan oksigen.

Wilayah Alabama merupakan kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi yang paling rendah di Amerika Syarikat (AS), dengan hanya 33.7 peratus populasinya sudah diberikan suntikan.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), 94 peratus daripada kes hospitalisasi dan 96 peratus kes kematian di wilayah itu berlaku dalam kalangan individu yang belum divaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here