
CYBERJAYA – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam akan ditutup selama sehari, hari ini susulan terdapat kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugasnya.
Menurut Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan, langkah segera penutupan itu diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh, malam tadi.
Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC antara 29 Jun hingga 12 Julai lalu untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala, supaya menjalankan ujian saringan Covid-19,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, susulan penutupan PPV IDCC hari ini, janji temu diberikan untuk 13 Julai akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.
Katanya, butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 03-88934303.-MT