
WASHINGTON – Pengeluar vaksin Pfizer akan bertemu dengan pegawai kesihatan persekutuan Amerika Syarikat (AS) secepatnya hari ini bagi membincangkan keperluan pengambilan dos ketiga.
Menurut Reuters, Pfizer dalam satu kenyataan semalam berkata, mereka bersama rakan kongsi, BioNTech sudah bersetuju untuk mendapatkan kebenaran AS dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai keperluan suntikan dos ketiga yang turut dikenali sebagai suntikan ‘booster’.
Walau bagaimanapun, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (USFDA) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (USCDC) dalam satu kenyataan balas menyatakan, buat masa ini belum ada keperluan mewujudkan pemberian dos ketiga buat rakyat AS.
Menurut ketua penasihat perubatan presiden, Dr. Anthony Fauci, pihaknya tidak menolak sama sekali cadangan pemberian suntikan ‘booster’ berikutan kemunculan pelbagai varian Covid-19 yang baharu sambil menambah, lebih banyak maklumat diperlukan bagi mengukuhkan cadangan itu.
“Banyak kajian sedang dilakukan sekarang (mengenai keperluan ini).
“Kita perlu dalami dapatan kajian tersebut sebelum boleh membuat sebarang keputusan,” kata Dr. Fauci.