
SUNGAI SIPUT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan faktor kepenatan petugas di pusat-pusat pemberian vaksin sebgai punca berlakunya kes vaksin tidak disuntik kepada penerima seperti mana yang ditularkan baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya meminta petugas memaklumkan keadaan mereka jika mengalami keletihan bagi membolehkan penggantian dibuat.
Menurutnya, KKM sentiasa mencari jalan untuk menempatkan anggotanya di lokasi-lokasi yang memerlukan petugas mengikut keperluan bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.
“Itu antara kesilapan yang kita lakukan apabila kita terlalu letih. Kita ada staf dan kita boleh mobilize. Ya, memang kita stres dengan masalah sumber manusia tetapi KKM sentiasa berfikir dan mobilisasi di mana tempat yang kurang sibuk pindah ke tempat yang sibuk. Orang berpengalaman pindah ke tempat yang perlukan orang berpengalaman umpamanya.

“Perkara ini amat serius bagi saya. Kalau perkara itu berlaku disebabkan keletihan, dia patut rehat dan kalau perkara itu disengajakan, ini satu perbuatan yang sangat jahat. Tindakan sepatutnya perlu diambil apabila benda itu terbukti,” katanya
memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Sungai Siput (U), Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini pada Rabu.
Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.
Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, isu yang tular mengenai pemberian vaksin kosong itu sedang dalam siasatan sebelum diambil tindakan yang melibatkan tiga kes setakat ini.
Menurutnya, di sebalik usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi rakyat, kualiti dalam memberikan vaksin itu mesti diberikan keutamaan.