
PORT-AU-PRINCE, Haiti – Pihak berkuasa Haiti berjaya menahan 17 individu yang terlibat dalam pembunuhan Presiden Jovenel Moïse, dan masih menerus operasi memburu saki-baki kumpulan itu.
Menurut Ketua Polis Haiti, Charles Leon, mereka yang ditahan itu merupakan sebahagian daripada kumpulan seramai 28 orang, 26 daripadanya warganegara Colombia dan 2 rakyat Amerika Syarikat (AS) berasal dari Haiti.
Dalam operasi pemburuan yang dilancarkan, pihak berkuasa berjaya mengesan tempat persembunyian kumpulan itu di sebuah rumah di Petionville.
Operasi yang dilancarkan itu turut berjaya menembak mati 3 penyerang, manakala 8 lagi berjaya meloloskan diri dan sedang dalam buruan.
“Warga asing datang ke negara ini untuk membunuh presidennya,” kata Leon dalam satu sidang akhbar, semalam.
Menurut The Guardian, dalam sidang akhbar yang sama, kesemua individu yang ditahan ditayangkan kepada media, termasuk bahan bukti yang berjaya dirampas.
Selain pasport Colombia, turut dirampas adalah raifal, parang, radio dua hala, dan alatan lain seperti tukul dan pemotong besi.
Sementara itu, menurut Menteri Pertahanan Haiti, Diego Molano, siasatan awal mendapati warga Colombia yang terlibat merupakan bekas anggota tentera negara itu, dan telah menerima jaminan bahawa Bogota akan memberikan bantuan dalam siasatan.
Pada Rabu lalu, satu serangan ala komando yang dilancarkan terhadap kediaman presiden menyebabkan Presiden Moïse terbunuh serta merta, manakala isterinya cedera parah.