
SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri Kedah akan membekalkan bantuan khas wang tunai dan makanan basah kepada 2,767 buah rumah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Daerah Kuala Muda bermula esok.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap rumah akan dibekalkan dengan dua ekor ayam, dua kilogram ikan, sayur-sayuran dan telur sepapan.
Beliau berkata, bantuan itu akan melibatkan peruntukan khas berjumlah RM373,545.
“Bekalan makanan basah akan mula dibekalkan mulai pagi esok melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di taman-taman perumahan di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya dan Lembah Permai PKNK dan Kampung Sireh.
“Kerajaan menyedari kesukaran mendapatkan makanan basah dan bekalan wang tunai berikutan ada kawasan terbabit PKPD tidak mempunyai perkhidmatan bank atau ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua lokaliti di daerah Kuala Muda dikenakan PKPD bermula 4 Julai lalu sehingga 18 Julai lalu.
Menurut Muhammad Sanusi, selepas dua minggu dikenakan PKPD penduduk di kawasam itu telah kehabisan bekalan wang tunai dan ini menimbulkan masalah untuk membeli keperluan selain daripada makanan yang dibekalkan melalui bakul makanan PKOB.
Sehubungan itu, katanya, semua bantuan makanan basah dan wang tunai ini akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang diketuai oleh Abdullah Hashim.-MT