
CYBERJAYA – Semua kaunter perkhidmatan percukaian, kaunter duti setem dan kaunter bantuan khas kerajaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berada di kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sementara mulai esok.
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, sehubungan itu, semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem eJanji Temu untuk hadir ke kaunter-kaunter berkenaan dibatalkan.
Katanya, pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula.
“Namun demikian, kaunter pusat bayaran akan tetap beroperasi dengan perkhidmatan dan waktu operasi yang terhad seperti bayaran tunai dan cek, cukai pegangan; seniman kembara; cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh dan kompaun.
“Bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit pula melibatkan cukai pendapatan dan lain-lain cukai manakala perkhidmatan lain dibuat secara atas talian sahaja,” katanya.
Katanya lagi, waktu operasi perkhidmatan itu ialah pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Sementara itu, katanya, dalam tempoh PKPD ini juga perkhidmatan telefon dan HASiL Live Chat akan beroperasi seperti biasa bagi membantu pelanggan khususnya pembayar cukai dalam urusan percukaian mereka.
Katanya, perkhidmatan Hasil Care Line melibatkan talian khidmat percukaian dan talian hotline BPR beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin dan Jumaat.
Bagi perkhidmatan Hasil Live Chat pula beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat.-MT