PKPD: Kilang jarum, kaca di Selangor pula dibenarkan beroperasi oleh MITI

0
880
Surat kebenaran CIMS3.0 oleh MITI yang membenarkan sebuah kilang pembuatan kaca di Banting beroperasi ketika PKPD.

CYBERJAYA – Dua buah lagi kilang yang bukan berstatus perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Selangor.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata, kebenaran dua buah kilang tersebut beroperasi sejak kelmarin sangat menghairankan memandangkan lokasi kedua-dua kilang itu berada di kawasan PKPD.

Beliau berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan, semua aktiviti perniagaan termasuk kilang tidak dibenarkan beroperasi kecuali di bawah kategori perkhidmatan perlu.

“Berdasarkan bukti yang kami terima surat kelulusan yang diberikan itu atas alasan berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), sama seperti kelulusan yang diberikan kepada dua kilang yang kami bongkarkan sebelum ini.

“Salah satu kilang yang dibenarkan beroperasi itu ialah kilang jarum yang terletak di Klang iaitu kawasan yang dikuatkuasakan PKPD sejak Sabtu lalu.

“Berdasarkan maklumat, kilang jarum ini yang dinyatakan sebagai pembuatan mesin dan peralatan beroperasi 100 peratus kecuali pengurusan hanya 60 peratus. Tindakan ini sahaja telah menyalahi undang-undang dan SOP kehadiran ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Lebih mengejutkan katanya, pihak pengurusan kilang tersebut turut mendapatkan cap pengesahan daripada balai polis untuk surat baharu Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dan disebarkan kepada pekerja untuk hadir bertugas seperti biasa.

Surat kebenaran CIMS3.0 oleh MITI yang membenarkan sebuah kilang pembuatan jarum di Klang beroperasi ketika PKPD dengan meletakkan cap dari balai polis

Mengulas lanjut, katanya, sebuah lagi kilang yang dikesan dibenarkan beroperasi ialah kilang pembuatan kaca yang terletak di kawasan Perindustrian Mahkota Banting.

Beliau berkata, meskipun terletak di kawasan PKPD, pihak pengurusan kilang tersebut masih mengarahkan pekerjanya untuk hadir bekerja.

“Berdasarkan pendedahan ini, kita dapati surat CIMS 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mempunyai sangat banyak kelemahan.

“Sepatutnya pihak MITI turun padang untuk menyiasat dan memantau tetapi tidak, mereka mengeluarkan surat kebenaran beroperasi tanpa menghiraukan lokasi kilang di kawasan PKPD.

“Jika keadaan sebegini berterusan adalah tidak mustahil kes kluster baharu Covid-19 melibatkan kilang akan terus bertambah setiap hari,” ujarnya.

Semalam, Malakat Tribune mendedahkan dua kilang bukan di bawah perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi dengan menggunakan alasan PPN walaupun kilang berkenaan terletak di bawah kawasan PKPD.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here