PKPD: Sebuah kilang elektronik, proses kelapa sawit didakwa dibenarkan beroperasi di Selangor

0
1445
Surat kebenaran daripada MITI yang meluluskan permohonan kilang elektronik itu beroperasi atas alasan fasa PPN

CYBERJAYA – Sebuah kilang elektronik yang terletak di sebuah kawasan perindustrian di Klang, Selangor mendapat surat kebenaran beroperasi ketika seluruh daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 14 hari sejak Sabtu lalu.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima laporan tersebut hari ini dan mempunyai bukti kebenaran untuk syarikat itu beroperasi bermula tengah malam ini juga.

Lebih menghairankan katanya, surat kelulusan yang diberikan itu atas alasan berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Menerusi surat itu tertera bahawa kilang ini boleh beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja untuk PPN Fasa Satu.

“Persoalannya sekarang bagaimana syarikat ini boleh mendapat kelulusan PPN sedangkan seluruh kawasan itu diletakkan di bawah PKPD.

“Seperti semua sedia maklum sekiranya PKPD dilaksanakan maka prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lain tidak terpakai lagi,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Rabu minggu lalu, kerajaan mengumumkan sebahagian besar mukim di lapan daerah di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur (WPKL) dikenakan PKPD berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend jangkitan Covid-19 yang tinggi dengan Selangor.

Sehubungan itu, semua sektor ekonomi termasuk kilang tidak dibenarkan beroperasi kecuali melibatkan perkhidmatan perlu sahaja.

Dalam pada itu, Wan Noorulazhar turut mempersoalkan bagaimana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan kilang tersebut beroperasi.

Katanya, sedangkan kilang-kilang elektronik dan elektrik merupakan punca utama kluster Covid-19 kerana terdapat terlalu ramai pekerja asing.

Sementara itu, katanya, selain kilang elektronik berkenaan, pihaknya turut menerima laporan bahawa sebuah kilang memproses kelapa sawit milik anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkenal juga dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, syarikat itu yang dibenarkan beroperasi atas alasan sama beralamat di Telok Panglima Garang turut berada dalam kawasan PKPD Kuala Langat.

Surat kebenaran untuk sebuah kilang memproses kelapa sawit beroperasi ketika PKPD.

“Kita hairan bagaimana kilang-kilang ini yang bukan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi. Kita minta pihak berkuasa menutup semula kebenaran beroperasi supaya pengorbanan seluruh rakyat tidak sia-sia,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here