PKPD Selangor dan Kuala Lumpur: Semua kilang diarahkan tutup kecuali perkhidmatan perlu

0
1023
Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu anggota Pertahanan Awam (APM) mengedarkan barang keperluan makanan kering kepada penduduk di kawasan perumahan Jalan Kubur, Pantai Dalam selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa 26 Jun hingga 9 Julai. – MALAKAT TRIBUNE/Farid Janudin

CYBERJAYA – Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di lapan daerah di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur, semua aktiviti ekonomi tidak dibenarkan termasuk penutupan kilang-kilang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPD itu.

“Hanya sektor perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan untuk beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

“Selain itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan perlu mempunyai surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

Katanya, pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

“Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (work from home).

“Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis-premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8malam,” katanya.

Beliau berkata, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Sementara itu, katanya, hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi
sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran manakala kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here